Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Polis sedang menunggu arahan daripada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) berhubung kes perarakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di sebuah resort di Setiu pada 17 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, pegawai siasatan sudah melengkapkan kertas siasatan dan diserahkan kepada PPN minggu lalu.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar kertas siasatan kepada PPN namun ia dipulangkan semula dengan arahan supaya beberapa tindakan lanjut diambil bagi melengkapkan siasatan.

"Sekarang kertas siasatan berada dengan PPN, ia masih dalam kajian dan penelitian pihak PPN.

"Kita akan tunggu arahan lanjut daripada pihak PPN dan kita sentiasa berhubung dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklum balas mengenai status kertas siasatan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan gambar perarakan Pemuda Pas Terengganu berarak menggunakan replika pedang, lembing dan perisai tular di media sosial.

WAN Rukman (kanan) melakukan pemeriksaan barisan kawalan kehormatan pada Sambutan Hari Polis Ke-216 di IPK Kuala Terengganu hari ini. FOTO Ghazali Kori
WAN Rukman (kanan) melakukan pemeriksaan barisan kawalan kehormatan pada Sambutan Hari Polis Ke-216 di IPK Kuala Terengganu hari ini. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 12:14 PM