BERNAMA

Bukit Mertajam: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang membuka 941 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan jenayah komersial membabitkan nilai kerugian RM50 juta sejak 1 Januari hingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata daripada jumlah itu, kes pecah amanah, pemalsuan dan lain-lain merekodkan 110 kes dengan jumlah kerugian RM26 juta, manakala kes tipu dalam talian pula mencatatkan 831 kes membabitkan jumlah kerugian RM24 juta.

Beliau berkata kes penipuan panggilan telefon atau Macau Scam paling banyak direkodkan iaitu 183 kes membabitkan kerugian RM12 juta, diikuti 83 kes penipuan pelaburan yang mencatatkan kerugian RM5 juta, dan lain-lain kes penipuan dalam talian babitkan kerugian RM7 juta.

"Kejayaan paling besar JSJN Pulau Pinang ialah melalui Op Pelican dengan penahanan tiga lelaki yang menjalankan kegiatan penipuan dalam talian, dan serbuan ke atas pusat operasi bulan lepas itu, polis merampas pelbagai kad sim, telefon bimbit, kad debit, komputer riba dan buku mengandungi promosi perjudian serta pelbagai dokumen,

"Selain itu 398 orang ditahan kerana terbabit dalam kes jenayah komersial di Pulau Pinang sejak awal Januari hingga semalam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 peringkat Kontinjen Pulau Pinang di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), di sini.

Datuk Fisol (dua dari kiri) memeriksa barisan kawalan kehormatan sempena Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216. FOTO Danial Saad
Datuk Fisol (dua dari kiri) memeriksa barisan kawalan kehormatan sempena Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216. FOTO Danial Saad

Sementara itu Fisol berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang menahan 2,878 orang termasuk 60 remaja bawah umur berusia 18 tahun ke bawah sepanjang tempoh 1 Januari hingga 28 Februari lalu kerana terbabit dengan kes berkaitan dadah.

Katanya sepanjang tempoh sama, JSJN Pulau Pinang berjaya membuat pelbagai rampasan dadah bernilai RM2.98 juta dengan nilai sitaan harta RM2.98 juta melalui 40 kertas siasatan yang dibuka.

Beliau berkata sepanjang tempoh sama, pihak JSJN Pulau Pinang telah berjaya menumpaskan tujuh sindiket pengedaran dadah jenis heroin, ketamin, ganja dan syabu menerusi beberapa siri Op Mutiara.

Terdahulu pada majlis itu, tiga orang awam turut diberikan surat penghargaan Ketua Polis Pulau Pinang kerana berjaya membantu pihak polis menyelesaikan beberapa kes jenayah antaranya curi kabel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 3:05 PM