Mohd Roji Kawi

Kuching: Kadar indeks jenayah di negeri ini menunjukkan penurunan sebanyak 13 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, sebanyak 799 kes dicatatkan sejak Januari hingga 19 Mac lalu, dan ia menurun sebanyak 188 kes berbanding 987 kes pada 2021.

Beliau berkata, usaha perlu digandakan bagi memastikan penurunan terus dicatatkan sepanjang tahun ini.

"Pada awal tahun ini, indeks jenayah menunjukkan penurunan, namun kita akan terus cuba mengurangkannya dengan melaksanakan pelbagai pelan dan operasi bagi mengawal aktiviti jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-215 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Mancha Ata, memeriksa kawalan kehormat ketika menghadiri Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-215  di Perkarangan Padang Kawad IPK Sarawak, Jalan Badaruddin, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mancha Ata, memeriksa kawalan kehormat ketika menghadiri Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-215 di Perkarangan Padang Kawad IPK Sarawak, Jalan Badaruddin, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI

Mancha berkata, bagaimanapun kes jenayah komersial menunjukkan peningkatan sebanyak 126 kes atau 27.45 peratus dalam tempoh Januari hingga 20 Mac lalu.

"Sebanyak 585 kes jenayah komersial dicatatkan dalam tempoh tiga bulan tahun ini berbanding 459 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Kerugian jenayah komersial dalam tempoh itu tahun ini adalah sebanyak RM16.5 juta, manakala pada tahun lalu pula sebanyak RM12.8 juta iaitu peningkatan sebanyak RM3.7 juta atau 28.9 peratus," katanya.

Menurutnya, usaha berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menghasilkan sebanyak 215 tangkapan, tahun ini.

"Seramai 375 individu termasuk membabitkan kes pada tahun sebelum ini dituduh di mahkamah dengan 330 kertas siasatan dan jumlah pertuduhan keseluruhan adalah sebanyak 585," katanya.

Menurutnya, seramai 161 pengedar dadah ditahan pada tahun ini dan ia meningkat sebanyak 15.83 peratus berbanding 139 tangkapan dalam tempoh tiga bulan, tahun lalu.

"Bagi kes memiliki dadah pula, seramai 428 orang ditahan dan meningkat sebanyak 28.14 peratus berbanding 334 orang tahun lalu manakala nilai rampasan dadah pula adalah sebanyak RM6.3 juta tahun ini berbanding RM3.2 juta tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 1:10 PM