Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: "Rugi tidak pergi sekolah," kata Mylea Zahra Hazari, 13, ketika ditemui pada pembukaan sesi persekolahan bagi pelajar sekolah menengah di negeri ini, bermula hari ini.

Tinjauan yang dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, seawal 6.20 pagi mendapati kenderaan mula bersesak berikutan terdapat sekolah lain yang berhampiran iaitu SMK Aminuddin Baki, SMK Mohd Khalid dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Foon Yew.

Mylea Zahra berkata, selain maklum mengenai kehadirannya ke sekolah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), bahan belajar juga sudah disediakan bagi mengikuti kelas secara bersemuka.

"Buku teks sekolah saya sudah mula dapat sejak awal tahun ini, selain turut mengikuti kelas menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang sekolah tidak buka.

"Setibanya di sekolah pagi ini, saya sudah menjangkakan akan ada pemeriksaan suhu, cecair pembasmi kuman dan perlu beratur sebelum masuk ke pintu sekolah kerana di mana-mana kedai saya pergi pun, perlu buat begitu," katanya.

NURIN Aqilah mencium tangan bapanya sebelum memasuki sekolah pada sesi pertama pembukaan sekolah menengah di SMK Sultan Ismail, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
NURIN Aqilah mencium tangan bapanya sebelum memasuki sekolah pada sesi pertama pembukaan sekolah menengah di SMK Sultan Ismail, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Bagi Mohd Nizam, 38, anaknya, Nurin Aqilah Balqis, 15, tidak mempunyai masalah untuk bangun awal pagi, selain kebiasaannya dia akan menghantar ke sekolah dengan menaiki motosikal.

"Kira-kira 5 pagi tadi, hujan agak lebat. Namun, anak saya tetap bersemangat untuk bersiap bagi memulakan sesi persekolahan.

"Saya mengharapkan pihak sekolah akan sentiasa menambah baik cara pengurusan pelajar kerana kita sudah sedia maklum norma baharu ini ibarat rutin yang akan kita lalui di mana-mana jua," katanya.

Difahamkan, seramai 998 pelajar termasuk Tingkatan Satu hingga Lima dan Tingkatan Enam yang bersekolah di SMK Sultan Ismail, dekat sini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 9:49 AM