JAS (kiri) dan Eddy yang membantu mengesan mangsa yang hilang sejak Selasa lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
JAS (kiri) dan Eddy yang membantu mengesan mangsa yang hilang sejak Selasa lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Kami tidak hebat, mungkin (berkat) doa rakan-rakan pengikut, kami akhirnya berjaya menemui mangsa, Alhamdulillah."

Itu kata, pengamal paranormal hanya mahu dikenali sebagai 'Jas Inanansad Solo', 38, bersama 'Eddy Pemburumalammenjelma', 37, yang menemui mayat peniaga lelaki, Steven Tan Kim Huat, 45, di dalam sungai kecil berhampiran trek pendakian terbiar di Bukit Beruang, di sini, jam 10.25 pagi hari ini.

Menurutnya, mereka nekad datang dari Kuala Lumpur selepas mengetahui operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan selain menyahut cabaran pengikut mereka di Facebook (FB) supaya merungkai misteri kehilangan mangsa sejak Selasa lalu.

"Apabila ada kes sebegini (orang hilang) kami selalu turun, bukan nak tunjuk hebat tapi nak bantu dan jika jumpa rezeki, jika tidak jumpa usaha lagi.

"Kami bertolak dari Kuala Lumpur jam 11 malam dan sampai jam 1.30 pagi sebelum mendaki tanpa mengikut trek sekitar 8 pagi.

"Selepas lebih dua jam mencari akhirnya kami menemui mayat mangsa. Pasukan SAR (mencari dan menyelamat) bukan tidak berusaha mencari di lokasi itu, tapi mungkin ditakdirkan tidak jumpa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jas mendakwa sebelum penemuan berlaku kejadian pelik iaitu kemunculan dua ekor biawak besar serta kicauan burung yang kuat berhampiran trek pendakian terbiar di situ selepas mengelilingi bukit itu hampir 10 kilometer.

"Mulanya kami nampak biawak besar berjalan ke arah lokasi, beberapa minit selepas itu jumpa lagi biawak dan kami perhatikan sama ada biawak sama atau tidak, kerana biasanya jika tercium sesuatu bau ia datang cari.

"Beberapa minit pencarian diteruskan terdengar pula kicauan burung yang kuat di atas pokok sekitar 30 saat dan sebaik turun kira-kira 200 meter ke bawah trek itu, saya jumpa satu botol minuman lama dan mengambilnya.

"Sebaik berpaling, saya nampak mayat mangsa dalam keadaan terlangkup di sungai kecil di situ kira-kira 10 meter, namun tidak berbau," katanya yang berkongsi penemuan itu di FB Live dan meminta netizen untuk menghubungi polis.

Jas berkata, mereka turut melaungkan azan dan membaca ayat al-Quran di kawasan penemuan serta mendapati trek pendakian itu sudah lama terbiar dan mungkin tidak diketahui oleh pendaki baharu.

"Nasihat kami jangan daki Bukit Beruang selepas 4 petang kerana perjalanan ke puncak mengambil masa lama antara dua hingga tiga jam, selain kawasan itu sangat gelap pada waktu malam.

"Kita juga tidak boleh nafikan benda-benda mistik macam bunian, tetapi kita jangan terlalu taksub," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 9:49 PM