ANTARA 7,900 peket kopi pracampuran pelbagai jenama dirampas di dua rumah yang dijadikan tempat penyimpanan di Pasir Puteh dan Bachok kerana disyaki terdapat pelanggaran menggunakan cap dagangan berdaftar. FOTO Ihsan KPDN
ANTARA 7,900 peket kopi pracampuran pelbagai jenama dirampas di dua rumah yang dijadikan tempat penyimpanan di Pasir Puteh dan Bachok kerana disyaki terdapat pelanggaran menggunakan cap dagangan berdaftar. FOTO Ihsan KPDN
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 7,900 peket kopi pracampur pelbagai jenama di dua rumah yang dijadikan tempat penyimpanan di Pasir Puteh dan Bachok.

Dalam Operasi Bersepadu bersama wakil pemilik cap dagang selama dua hari sehingga semalam itu, serbuan turut dilakukan di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, yang memproses kopi pracampur terbabit.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, lima tindakan kes dihasilkan atas kesalahan mengikut Seksyen 102(1)(c) dan 100(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kopi pracampur pelbagai jenama terkenal disyaki terdapat pelanggaran menggunakan cap dagangan berdaftar ditemui di dalam operasi terbabit.

"Turut disita sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran tempatan, mesin pembungkusan produk kopi pracampur dan set komputer untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, operasi dilaksanakan di tempat simpanan dan kilang pemprosesan sekitar Kelantan bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan tanpa kebenaran dari pemilik cap dagangan berdaftar.

Menurutnya, serbuan yang dibuat adalah melalui pengaduan oleh wakil pemilik cap dagang daripada pemantauan dan risikan pihaknya selama seminggu.

"Nilai rampasan keseluruhan bagi kertas siasatan yang dibuka dianggarkan berjumlah RM103,938.

"Jika sabit kesalahan, pemilik premis perniagaan boleh didenda iaitu jika individu atau perseorangan, denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang.

"Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki melakukan kesalahan iaitu mempunyai dalam milikan jagaan dan kawalan bagi maksud perdagangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 1:37 PM