Oleh Omar Ahmad


Batu Pahat: Cuaca cerah dan penggunaan pam bergerak yang diselia Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyumbang kepada banjir mula surut di daerah ini sejak minggu lalu.

Pegawai Daerah Batu Pahat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Nasri Md Ali berkata, JPS memaklumkan akan menambah lagi 10 unit pam bergerak di lokasi kawasan rendah supaya air bertakung dapat dikeluarkan.

"Ini menjadikan kira-kira 40 unit pam bergerak beroperasi dan membantu mengalirkan air banjir keluar ke kawasan sepatutnya.

"Jika keadaan ini berterusan, saya menjangkakan akan lebih banyak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan ditutup dalam tempoh dua minggu.

"Kita juga tidak menolak hampir separuh daripada penghuni PPS yang kini berada di daerah ini akan dibenarkan pulang sebelum Ramadan jika tren penurunan paras air banjir terus berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pembersihan PPS Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datin Onn Jaafar di sini, hari ini.

Pada Selasa lalu, kira-kira 30 unit pam bergerak dengan kapasiti dua hingga 20 kaki padu sesaat (cusec) dipasang di sekitar daerah ini, sejak 11 Mac lalu, sebagai tambahan kepada sistem saliran dan pam sedia ada bagi mempercepat aliran air banjir termenung.

Kesemua pam berkenaan telah mula beroperasi bermula 11 Mac lalu di 14 lokasi secara berperingkat, termasuk Pintu Air Kuala Senggarang, Parit Bintang, Parit Asam Kumbang, Pintu Air Hailam, Parit Labis, Parit Sulong, Parit Separap, Taman Botani di Sri Medan.

Menurut Nasri, selain daripada dua faktor itu, aliran air dan jadual pasang surut air laut juga mempengaruhi penurunan air bah di kawasan ini.

Katanya sejak 13 hari lalu, kawasan ini mengalami cuaca panas dan cerah yang juga membantu proses penyusutan air banjir.

"Kita berharap cuaca seperti ini berterusan sehingga semua kawasan Batu Pahat ini pulih dari banjir. Mungkin ada dua atau tiga kawasan yang memang mengambil masa lama untuk pulih," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati hanya terdapat beberapa jalan kampung yang masih digenangi air, namun tidak pada paras bahaya.

Malah jalan utama, keadaan parit dan sungai di beberapa kampung sekitar kawasan ini juga berada pada paras normal dan tidak melimpah dari tebing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 2:39 PM