DR Ahmad Zahid Hamidi  ketika melawat mangsa banjir di PPS di Dewan Orang Ramai Sri medan, Batu Pahat, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DR Ahmad Zahid Hamidi ketika melawat mangsa banjir di PPS di Dewan Orang Ramai Sri medan, Batu Pahat, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BERNAMA

Batu Pahat: Kerajaan meluluskan peruntukan segera RM7 juta untuk usaha 'quick win' bagi mengatasi masalah banjir di daerah ini, termasuk masalah banjir termenung, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata peruntukan tersebut, membabitkan penggalian parit-parit dan pembelian pam air, yang akan disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi agensi pelaksana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Dalam keadaan itu, langkah-langkah 'quick win' ini, akan dilakukan dalam tempoh seminggu dua ini untuk kita lihat keberhasilannya, terutamanya dalam mengorek parit-parit yang sebu dengan lumpur dan sampah sarap yang ada sehingga menyebabkan penyumbatan pengaliran.

"Selain itu, JPS juga cadangkan pam-pam air untuk mengepam air segera, terutamanya apabila air laut mula surut, pam ini akan digunakan sepenuhnya," kata beliau kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Sri Medan, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Azmi Rohani.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata bagi permohonan projek jangka panjang, iaitu rancangan tebatan banjir (RTB) di daerah ini berjumlah RM50 juta akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 6:39 PM