SET dekoder MYTV.
SET dekoder MYTV.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) akan menyumbangkan sejumlah 1.5 juta Set Dekoder Percuma secara berperingkat bermula Januari 2019.

Sebagai langkah pertama, penerima terpilih akan menerima surat pemberitahuan untuk menghubungi MYTV bagi tujuan pengesahan kelayakan.

Penerima dipilih daripada senarai Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) di mana keutamaan diperuntukkan kepada golongan berpendapatan terendah.

Ketua Pegawai Eksekutif MYTV, Michael Chan berkata, pengumuman itu ekoran jumlah pertanyaan tinggi yang diterima MYTV sepanjang minggu lalu menerusi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV.

“Kami memohon maaf kepada orang ramai yang berusaha untuk menghubungi kami melalui Pusat Khidmat Pelanggan MYTV namun gagal berbuat demikian ekoran jumlah panggilan yang terlalu tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pihaknya ingin memberi jaminan syarikat sedang terus berusaha melayani seberapa banyak panggilan dan menambahkan usaha untuk menampung peningkatan panggilan yang tinggi.

Menurutnya, jangka masa tujuh hari yang diberikan kepada penerima yang layak dengan ini akan dilanjutkan sehingga 31 Januari 2019 untuk membolehkan mereka berhubung dengan MYTV.

“Untuk menangani masalah ini, kami juga telah menyediakan kaedah alternatif lain kepada orang ramai untuk menghubungi kami.

“Set Dekoder Percuma akan dihantar kepada alamat seperti yang berdaftar dengan BSHR melalui POS Malaysia,” katanya.

Set Dekoder BSHR akan dihantar ke seluruh negara secara berperingkat dengan kerjasama POS Malaysia sehingga siaran analog ditamatkan yang dijadualkan berlaku akhir Mac 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 9:41 AM