SULTAN Ibrahim Iskandar semasa pertemuan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Azmi Rohani. FOTO Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
SULTAN Ibrahim Iskandar semasa pertemuan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Azmi Rohani. FOTO Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Omar Ahmad

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan agar Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memberi perhatian dalam pemilihan Tok Batin dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Dalam hantaran terbaru di Facebook, baginda bertitah, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat pembangunan sosio-ekonomi dan kebajikan masyarakat Orang Asli.

Titah baginda, masyarakat Orang Asli bukannya golongan terpinggir, dan Jakoa sentiasa memastikan golongan berkenaan terus membangun dan maju.

"Pada masa sama, Jakoa juga perlu lebih sentiasa peka khususnya berkaitan pentadbiran penempatan atau perkampungan masyarakat Orang Asli yang mana Tok Batin atau penghulu turut memainkan peranan penting.

"Selain pembangunan masyarakat di sesuatu perkampungan menjadi keutamaan, pada masa sama Jakoa juga perlu memberi perhatian dalam pemilihan Tok Batin.

"Ia (pemilihan) perlu dipastikan dalam kalangan suku kaum, bukannya orang luar. Tok Batin yang dipilih juga perlu tahu fungsi serta peranan mereka.

"Pada masa sama, jangan ada pihak mengambil kesempatan dengan menghasut masyarakat Orang Asli," titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Datuk Azmi Rohani, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan wakil daripada Jakoa Johor serta Jakoa Daerah Johor Bahru, baru-baru ini.

Titah baginda masyarakat berbilang kaum yang hidup bersatu-padu menjadi tunjang perpaduan Bangsa Johor selama ini.

"Atas sebab itulah, perlunya peraturan tertentu bagi mengawal keharmonian dan kesejahteraan ini, termasuk berkaitan pembinaan rumah ibadat.

"Saya menyeru semua rakyat mematuhi peraturan ini demi kesejahteraan sejagat," titah baginda.

Sultan Ibrahim juga bertitah, menasihatkan masyarakat Orang Asli sentiasa menjaga kebersihan dan keindahan penempatan masing-masing bertujuan memastikan aspek kesihatan sentiasa terjaga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 10:00 AM