PEMILIK syarikat pengurusan acara, C S Muremthiran, 37, mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap kumpulan Radja, Sabtu lalu. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
PEMILIK syarikat pengurusan acara, C S Muremthiran, 37, mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap kumpulan Radja, Sabtu lalu. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis Johor menafikan dakwaan kumpulan Radja bahawa pihaknya menerima wang berjumlah RM10,000 sebagai jaminan untuk melepaskan dua suspek yang mengugut anggota kumpulan itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, adalah menjadi prosedur biasa bagi individu yang disiasat terhadap sesuatu kes dibebaskan dengan jaminan polis, namun ia tidak membabitkan sebarang bayaran.

"Itu (dilepaskan) jamin polis... maksudnya jaminan polis ini bukan memberi wang kepada polis, sebaliknya jaminan polis adalah bagi memastikan suspek menghadiri dan memberi kerjasama atas siasatan dijalankan.

"Kita tetap akan menyiasat dakwaan ahli kumpulan itu sekiranya benar wujud sebarang salah laku, termasuk elemen salah guna wang seperti yang didakwa," katanya pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Tampoi hari ini.

Kamarul Zaman berkata, siasatan polis terhadap kes itu juga dianggap selesai apabila individu yang didakwa mengugut ahli kumpulan itu dituduh di mahkamah, pagi tadi.

"Saya sudah bercakap dengan (anggota) Radja pagi tadi. Dalam perbualan telefon itu, mereka mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan pihak polis dalam kes ini," katanya.

Dalam sebuah video temuramah kumpulan itu bersama media Indonesia, ahli kumpulan Radja mendakwa dua suspek utama kes itu yang ditahan berhubung kejadian terbabit dilepaskan selepas membayar jaminan polis sejumlah RM10,000.

Pada Isnin lalu, polis menahan dua lelaki di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi membantu siasatan berhubung ugutan jenayah terhadap ahli kumpulan itu.

Lelaki tempatan berusia 37 tahun dan lelaki warga asing berusia 48 tahun itu ditahan pada hari sama laporan dibuat anggota kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 5:50 PM