Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kadar zakat fitrah di Selangor kekal seperti tahun sebelum ini iaitu pada kadar RM7, RM14 dan RM21.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop berkata, penetapan itu berdasarkan kepada harga 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh penduduk di Selangor.

"Bagaimanapun, LZS menggalakkan golongan berkemampuan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan. Ini digalakkan sejak 2018.

"Kadar zakat fitrah sebanyak RM14 seorang bagi individu yang memakan beras putih import,beras perang,beras pulut, herba ponni atau beras wangi.

"Manakala kadar zakat fitrah RM21 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi, beras jepun atau beras merah," katanya selepas Majlis Worldwide Prihatin di Mercu Worldwide di sini, tadi.

Dalam pada itu, Saipolyazan memaklumkan kutipan zakat fitrah pada tahun lalu adalah berjumlah RM31.1 juta.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

"Walaupun negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun lalu, jumlah berkenaan meningkat berbanding tahun 2019 yang mana kutipan adalah sebanyak RM26 juta.

"Untuk tahun ini, kita tidak menetapkan sasaran tertentu bagaimanapun kita ingin membuat kutipan yang lebih tinggi berbanding tahun lalu, tambahan pula pembayaran secara fizikal menerusi amil dilaksanakan semula," katanya.

Beliau berkata, bagi kutipan zakat keseluruhan, LZS mensasarkan kutipan sebanyak RM835 juta pada tahun ini.

Katanya, kutipan pada 2020 sangat memberangsangkan yang mana agensi itu mengutip sebanyak RM913 juta berbanding RM855 juta pada tahun 2019.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) memperuntukkan sejumlah RM343,794 untuk diagihkan kepada golongan asnaf di negeri ini menerusi tiga inisiatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worlwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, inisiatif pertama membabitkan peruntukkan RM200,000 sebagai bantuan modal perniagaan dalam bentuk motor roda tiga, peralatan dan perkakasan serta latihan dan pembelanjaan.

"Inisiatif kedua membabitkan RM93,794 sebagai bantuan modal perniagaan untuk penerima memulakan atau mengembangkan perniagaan manakala inisiatif ketiga adalah RM50,000 untuk penerima yang memerlukan bantuan peralatan perubatan dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 6:40 PM