Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Guru bahasa Melayu dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap murid perempuan Tahun Dua, April tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Nik Rosli@Rosli Abdul, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun 11 bulan.

Perbuatan itu dilakukan di dalam kelas di sebuah sekolah di Jelawat, dekat Bachok di sini, antara 7.40 pagi hingga 9.40 pagi pada minggu ketiga bulan April 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan berat selain mempunyai hubungan amanah dengan mangsa iaitu guru dan murid.

GURU dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
GURU dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Tertuduh merayu dan memohon supaya diberi jaminan kepadanya dan memaklumkan akan melantik peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat serta tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 April depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 4:18 PM