GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Hanya kerana menolak permintaan abangnya yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu menemani ke kedai seorang wanita cedera dipukul lelaki itu di kediaman mereka di Taman Cahaya, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 20 tahun yang juga pekerja khidmat pelanggan berada di rumah, sebelum abangnya mengajak menemaninya ke kedai untuk membeli barang namun dia menolak ajakan itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tiba-tiba suspek datang ke arah mangsa yang sedang berbaring dan terus memijak peha kanan, bahu kanan dan menumbuk di kepala berkali-kali tanpa henti.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Ampang.

"Susulan itu, suspek berusia 31 tahun yang tidak bekerja ditahan di kediaman terbabit pada 10.30 malam hari sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga," katanya dalam kenyataan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 8:32 PM