FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seramai 91 mangsa banjir daripada 18 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir sejak tengah malam kelmarin.

PPS terbabit dibuka di daerah Kuching iaitu di Dewan Sinaran Lumut dan Dewan Kampung Sungai Bedaun, kedua-duanya di kawasan Santubong.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, sehingga jam 9 pagi ini, seramai 60 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kampung Sungai Bedaun.

PPS Dewan Sinaran Lumut pula menempatkan seramai 31 mangsa daripada tujuh keluarga.

Hujan yang melanda Kuching sejak Jumaat lalu menyebabkan beberapa penempatan penduduk di Batu Kawa, Matang, Semariang, Kota Sentoasa dan Tabuan dilanda banjir kilat.

Sementara itu, dua lagi PPS dibuka di Sarawak bagi menempatkan mangsa kebakaran rumah.

PPS Dewan Masyarakat Kampung Tambak di Betong dibuka sejak 5 Mac lalu bagi menempatkan seramai 10 mangsa daripada empat keluarga.

PPS Dewan Komuniti Lereng Bukit di Miri pula dibuka sejak Jumaat lalu bagi menempatkan seramai 48 mangsa sembilan keluarga.

Mereka adalah mangsa kebakaran sembilan rumah di Kampung Wireless, Miri, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 10:11 AM