AZLI (lima dari kanan) dan Mohd Iqbal (enam dari kanan) bergambar bersama Persatuan Kepolisan Komuniti Seksyen 24 dan Persatuan Pengerusi Anggerik Seksyen 24 Shah Alam. FOTO Ihsan pembaca
AZLI (lima dari kanan) dan Mohd Iqbal (enam dari kanan) bergambar bersama Persatuan Kepolisan Komuniti Seksyen 24 dan Persatuan Pengerusi Anggerik Seksyen 24 Shah Alam. FOTO Ihsan pembaca
Yusmizal Dolah Aling


Shah Alam: Penipuan pembelian dalam talian menjadi antara kes tertinggi direkodkan di daerah ini dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, antaranya termasuklah pembelian barang kemas, motosikal serta pakej umrah yang ditawarkan dengan harga murah.

Katanya, ia menjerat pengguna yang pada awalnya mahu berjimat, namun akhirnya terpedaya selepas ditipu scammer di media sosial.

"Kebanyakan kes menggunakan Telegram dan WhatsApp serta tidak mempunyai platform.

"Berdasarkan aduan yang diterima, kita dapati masyarakat perlu 'be alert' dengan sebarang kemungkinan ditipu kerana scammer di luar sana begitu licik.

"Salah satu contoh adalah jualan motosikal Yamaha LC dengan harga murah. Anak muda tertarik dengan tawaran, bayar dan baru sedar mereka ditipu, katanya pada Program Cegah Jenayah 2.0 -Scammers di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon 8, Siti Nur Aishah Mohd Zain.

Mohd Iqbal berkata, pihaknya turut melihat penipuan pakej haji serta umrah sebagai trend baru dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila membuat sebarang transaksi

"Mana ada harga umrah RM4,000. Jadi kita kena sedar. Kalau Arab Saudi sendiri kata kos meningkat, macam mana boleh dapat harga murah. Tak munasabah," katanya.

Sementara itu, Azli berkata, program pencegahan jenayah seperti itu akan diteruskan khususnya di kawasan parlimen itu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya scammer.

Katanya, isu scammer atas talian yang semakin membimbangkan mendorong lebih banyak kerjasama antara agensi kerajaan bersama masyarakat perlu diadakan.

"Seperti yang disebut di parlimen, ada tiga kaedah digunakan iaitu pencegahan, penguatkuasaan dan advokasi.

"Ini yang kita mahu terapkan kepada penduduk Shah Alam supaya lebih berhati-hati dalam urusan seharian mereka.

"Scammer ini tidak mengenal siapa, saya pernah terima aduan seorang jurutera pun menjadi mangsa. Jadi, kesedaran sebegini diharap dapat membantu masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 11:36 PM