ANAN ketika menyampaikan ucapan di Putrajaya.
ANAN ketika menyampaikan ucapan di Putrajaya.
Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Ejen sindiket penipuan umrah kini menukar modus operandi dengan menyasarkan golongan ‘kaki masjid serta surau’ mangsa terbaru mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Anan C Mohd berkata, taktik licik itu biasanya menjanjikan pakej umrah pada harga jauh lebih rendah berbanding yang ditetapkan kerajaan iaitu kurang daripada RM4,900.

Sehubungan itu, beliau berkata, umat Islam diminta berhati-hati sekiranya terdapat agensi umrah yang menawarkan pakej ibadah itu di surau dan masjid kerana dibimbangi sindiket penipuan.

“Selain tawaran pakej murah, mereka (sindiket) juga menggunakan orang berpengaruh seperti artis, imam dan ustaz bagi menarik minat orang ramai untuk menyertainya.

“JAWHAR tidak boleh menghalang orang ramai sekiranya ingin memilih pakej murah, tetapi mereka harus berwaspada kerana penipuan ini kerap berlaku seperti yang dilaporkan akhbar, baru-baru ini,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Taklimat Kesedaran Penipuan Pakej Umrah dan Kursus Bimbingan Umrah (KBU) di sini, semalam.

Program anjuran JAWHAR itu dihadiri 80 peserta terdiri daripada kakitangan awam.

Anan berkata, hampir 90 peratus panggilan telefon yang diterima pihaknya terdiri daripada aduan orang ramai berkaitan pakej umrah yang dilakukan individu atau syarikat tidak berlesen.

Menurutnya, orang ramai boleh mengelak daripada ditipu sindiket dengan mengenal pasti agensi pengelola umrah yang berdaftar dengan kedutaan Arab Saudi menerusi portal maklumat Agensi Pengelola Umrah (i-Umrah) di laman sesawang JAWHAR.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 8:17 AM