TIAN Soon (tengah) bersama Khairin Nisa  (kiri) serta Norliza menyampaikan berita mengenai bantuan RM300 kepada setiap keluarga mangsa banjir. FOTO FB Ah Soon
TIAN Soon (tengah) bersama Khairin Nisa (kiri) serta Norliza menyampaikan berita mengenai bantuan RM300 kepada setiap keluarga mangsa banjir. FOTO FB Ah Soon
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Semua mangsa banjir di negeri ini bakal menerima bantuan daripada kerajaan negeri berjumlah RM300 bagi setiap keluarga yang terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, semua mangsa banjir layak menerima bantuan sama ada mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau tidak.

"Kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap mangsa-mangsa banjir dan kami barisan Exco berbincang dan mendapat persetujuan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk memberikan bantuan RM300 kepada setiap keluarga.

"Kita juga akan selaraskan sama ada mangsa banjir yang berpindah ke PPS atau tidak atau yang berpindah ke rumah saudara-mara, semuanya layak menerima bantuan RM300 itu," katanya.

Beliau menyampaikan berita baik itu secara bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh yang disiarkan menerusi Facebook (FB) Live di FB beliau 'Ah Soon', hari ini.

Sementara itu, menjawab kepada soalan mangsa banjir sama ada akan menerima bantuan daripada kerajaan pusat atau Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Tian Soon berkata, pengumuman mengenainya belum diterima.

"Ada yang bertanya sama ada akan terima bantuan daripada kerajaan pusat atau Nadma, mengikut sejarahnya, memang ada, tetapi untuk banjir kali ini belum ada pengumuman dibuat oleh Nadma.

"Tidak mengapa, kita akan kutip data dulu, siapkan senarai (mangsa banjir), kumpul maklumat dan kerajaan negeri akan bekalkan kepada Nadma untuk proses seterusnya," katanya.

Bagi memudahkan urusan pengumpulan data semua mangsa banjir itu, Tian Soon berkata, mereka yang tidak berpindah ke PPS masih boleh melakukan pendaftaran dengan mendapatkan borang di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau di PPS berhampiran selain melalui ketua kampung atau Ketua Masyarakat.

"Kita tahu ada yang sukar untuk mendaftar sebagai mangsa banjir kerana mungkin mereka tidak berpindah ke PPS atau pindah ke rumah saudara-mara.

"Bagi yang di PPS tidak ada masalah, pendaftaran akan dibuat ketika anda masuk ke PPS, bagi yang lain, boleh mendapatkan bantuan daripada ketua kampung atau Ketua Masyarakat untuk dapatkan borang atau ambil sendiri di JKM atau PPS berhampiran.

"Apabila borang sudah siap diisi, boleh dihantar semula ke JKM, PPS atau ketua kampung untuk disahkan serta diserahkan kepada Pejabat Daerah yang juga bertindak sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah," katanya.

Pada masa sama, Tian Soon mewakili kerajaan negeri menasihatkan mangsa banjir untuk terus tabah dan bersabar berdepan ujian ini dan kerajaan negeri akan terus bersama membantu mereka yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 4:26 PM