Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang ditubuhkan di Chow Kit, di sini, akan diperluaskan ke negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

SBJK yang ditubuhkan pada 2013 dikhaskan untuk kanak-kanak tanpa dokumen, tiada warganegara serta termasuk dalam golongan rentan keciciran pendidikan

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, sepanjang pengalamannya sebagai aktivis kanak-kanak sebelum ini, terdapat ribuan golongan itu yang tidak mendapat pilihan, peluang serta akses seperti pelajar di sekolah khas itu.

Beliau berkata, konsep sekolah SBJK perlu diuar-uarkan kepada seluruh komuniti supaya dapat memastikan golongan sasar berkenaan tidak terus keciciran dalam arus pendidikan negara.

"SBJK ini adalah sekolah model khas yang menumpukan kepada kriteria kanak-kanak tanpa dokumen, tiada warganegara dan juga golongan rentan yang berada sekitar Chow Kit atau Kuala Lumpur untuk diberikan pendidikan.

"Tujuan Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan sekolah khas ini adalah bagi memenuhi sistem dan aspirasi murid selaras dengan konsep yang digarapkan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), pendidikan untuk semua atau Education for All (EFA).

"Justeru pada jangka masa panjang, kementerian berhasrat memperluaskan konsep sekolah ini ke Sabah, Sarawak dan mungkin negeri lain yang mempunyai isu sama," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Santunan Kasih bersama kepimpinan tertinggi kementeriannya di SBJK, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dan Pemangku Pengetua SBJK Mohd Zafrol Abdullah.

KON Yeow memberi kenyataan media mengenai perjumpaan bersama PH dan Umno negeri pada sidang media di Komtar. FOTO Mikail Ong
KON Yeow memberi kenyataan media mengenai perjumpaan bersama PH dan Umno negeri pada sidang media di Komtar. FOTO Mikail Ong

Pada majlis sama, Fadhlina turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Bangunan Blok Akademik Fasa Satu SBJK yang membabitkan kos RM13 juta dan fasa kedua akan dimulakan kelak dengan kos RM8 juta.

SBJK mula beroperasi pada 19 Ogos 2013 di Chow Kit dan kini mempunyai 133 murid berusia antara lima hingga 19 tahun.

"Pembangunan sekolah seperti SBJK membuktikan KPM mempunyai komitmen kepada pendidikan manusiawi.

"Ini kerana SBJK berkonsepkan kasih sayang, ceria dan mengikut keperluan kanak-kanak yang ada di sini.

"Sekolah ini sudah melahirkan ramai pelajar berkemahiran dan berjaya dalam akademik. Kita mahu selepas ini akan ada lagi banyak kisah kejayaan.

"Apa pun, kita mahu kanak-kanak yang belum disahkan dokumen turut diberikan didikan di sekolah supaya mereka tidak tercicir pendidikan," katanya.

Katanya, KPM juga mengambil pendekatan menyantuni komuniti sekolah khas sebagai kesinambungan dalam merealisasikan tujuh teras utamanya dalam menerajui Sistem Pendidikan Negara.

Untuk rekod, SBJK menerima dan mencari murid daripada latar belakang anak pekerja sosial, ibu bapa terbabit gejala dadah, perilaku jenayah, institusi kekeluargaan kucar-kacir, tidak mempunyai tempat tinggal tetap atau gelandangan dan golongan miskin tegar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 10:11 PM