WAN Saiful pada sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO Aswadi Alias
WAN Saiful pada sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO Aswadi Alias
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pengosongan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang akan menghapuskan peranan semak dan imbang di negeri itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pengosongan kerusi itu juga satu perkara yang dikesali dan titik hitam dalam sejarah Pulau Pinang.

Dakwanya, kerajaan yang diketuai oleh DAP dan Umno juga akan melakukan apa saja terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang berlangsung dalam masa terdekat.

"Bagi saya tindakan yang dilakukan meluluskan usul pengosongan empat kerusi Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang ini melambangkan ketakutan mereka.

"Dan tindakan mereka yang mahu menggunakan segala saluran perundangan untuk memastikan kebangkitan rakyat serta sokongan kepada PN dapat dilumpuhkan.

"Mereka menggunakan segala kuasa termasuklah kuasa yang ada di DUN," dakwanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Persidangan DUN Pulau Pinang hari ini meluluskan usul pengisytiharan kekosongan empat kerusi yang diwakili Adun Bersatu mengikut Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Speaker, Datuk Law Choo Kiang mengesahkan keputusan itu dicapai selepas selesai sesi perbahasan dengan sokongan majoriti Adun.

Adun dan kerusi terbabit adalah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, mereka sepatutnya menunggu daripada membawakan usul itu kerana PRN tinggal beberapa bulan lagi.

"Seharusnya tunggulah dulu sehingga pilihan raya negeri yang kita tahu tidak berapa bulan lagi.

"Tetapi kerakusan mereka ini menyebabkan mereka meluluskan usaha untuk memaksa empat Adun PN di DUN Pulau Pinang terpaksa mengosongkan kerusinya hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 6:05 PM