Pesakit barah peti suara, Hishamuddin Samaon menemani anak bongsu, Situ Norhusna ke Program Kembali ke Sekolah Empire anjuran Empire Project di Aeon Mall, Kulai. FOTO Victoria Dass
Pesakit barah peti suara, Hishamuddin Samaon menemani anak bongsu, Situ Norhusna ke Program Kembali ke Sekolah Empire anjuran Empire Project di Aeon Mall, Kulai. FOTO Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Kulai: "Saya bersyukur kerana Allah masih memberi peluang kepada untuk berkomunikasi dengan individu lain dan ke mana jua saya pergi, akan membawa pembesar suara ini," kata penghidap barah peti suara tahap empat, Hishamuddin Samaon, 49.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, suaranya berubah selepas menjalani pembedahan peti suara selain kini hanya bernafas menerusi leher yang ditebuk.

Menurutnya, dia disahkan menghidap barah pada 2019 dan sudah menjalani rawatan radioterapi sebanyak 31 kali di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Fungsi percakapan saya terganggu selepas menghidapi barah peti suara namun keilatan yang dialami tidak mematahkan semangat untuk terus menyara isteri (Hasliza Robi, 46) dan anaknya (Siti Norhusna, 12) dengan mengambil upah kerja di kebun di kampung.

"Saya bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk bekerja walaupun pendapatan tidak tetap selain turut menerima bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sejumlah RM200 dan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya hanya ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan tiga bulan sekali selain doktor menyatakan sel kanser saya tidak aktif lagi," katanya yang terpilih menerima bantuan anak untuk anaknya ketika ditemui di Program Kembali ke Sekolah Empire anjuran Empire Project di Aeon Mall, Kulai di sini hari ini.

Hadir sama, Pengasas Empire Project, Mohd Ashraff Khan Md Najib.

Mohd Ashraff berkata, seramai 8,000 kanak-kanak di seluruh negara terpilih bagi menerima baucer membeli-belah mahupun kelengkapan persekolahan.

Menurutnya, penerima terdiri daripada penghidap barah, anak pesakit barah selain golongan keluarga B40, Orang Asli dan di kawasan pedalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 5:57 PM