Oleh Mary Victoria Dass


Kulai: Keperluan bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan kesihatan akibat menghidap kanser tulang atau osteosarcoma menjadi kekangan bagi Muhammad Durrani Faris Nor Arifin, 11, untuk bersekolah seperti biasa sejak tiga tahun lalu.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, akibat penyakit dihidapi itu dia kehilangan kaki kiri yang dipotong pada 3 Januari 2022 bagi membuang sebahagian tulang kakinya itu demi menyelamatkan nyawanya.

Menurutnya, bagaimanapun dia yang kini bergerak menggunakan tongkat tidak pernah patah semangat untuk kembali bersekolah dan memulakan sesi persekolahan esok.

"Saya tamat menjalani rawatan kemoterapi tahun lalu dan berharap dapat bersekolah seperti biasa.

"Keluarga saya banyak memberi semangat terutama ayah dan ibu. Saya tidak sabar untuk kembali bersekolah dan bertemu rakan-rakan," katanya.

Sementara itu, Nor Arifin Md Anuar, 36, berkata, dia bersyukur kerana anaknya menjadi antara penerima sumbangan kelengkapan persekolahan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, sumbangan seumpama itu dapat menceriakan kanak-kanak seperti anaknya yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran bagi melanjutkan pelajaran.

"Dia adalah seorang kanak-kanak yang kuat semangat, berkeyakinan diri dan tanpa paksaan, dia sendiri mahu ke sekolah.

"Kami sebagai ibu bapa sentiasa beri sokongan semangat dan mendidiknya seperti anak lain tanpa sebarang perbezaan.

"Kami sentiasa memfokus perkara yang baik dan membawanya ke tempat awam supaya dia dapat membuang rasa malu dan mesra dengan persekitaran," katanya ketika ditemui di Program Kembali ke Sekolah Empire anjuran Empire Project di Aeon Mall, Kulai di sini.

 Penghidap kanser tulang, Muhammad Durrani Faris membeli kelengkapan sekolah sambil ditemani bapanya, Nor Arifin Md Anuar menerusi Program Kembali Ke Sekolah Empire di Aeon Mall di Kulai di sini. FOTO Mary Victoria Dass
Penghidap kanser tulang, Muhammad Durrani Faris membeli kelengkapan sekolah sambil ditemani bapanya, Nor Arifin Md Anuar menerusi Program Kembali Ke Sekolah Empire di Aeon Mall di Kulai di sini. FOTO Mary Victoria Dass

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 1:26 PM