MOHD Daud (dua kiri) menyampaikan ‘Mock Cheque’ kepada Mohd Ashraff, diperhatikan Pengurus Baitulmal Ustaz Ahmad Talmizi Yahyah (kiri) dan Pengurus Pembangunan Insan, Mohd Fauzi Abiddin (kanan). FOTO Aswadi Alias
MOHD Daud (dua kiri) menyampaikan ‘Mock Cheque’ kepada Mohd Ashraff, diperhatikan Pengurus Baitulmal Ustaz Ahmad Talmizi Yahyah (kiri) dan Pengurus Pembangunan Insan, Mohd Fauzi Abiddin (kanan). FOTO Aswadi Alias
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melancarkan projek perintis Program Gerobok Rezeki di tadika Islamnya bagi menyantuni golongan sasaran yang memerlukan bantuan.

Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Daud Bakar berkata, Program Gerobok Rezeki adalah inisiatif yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan matlamat lebih ramai masyarakat dapat dibantu di seluruh Wilayah Persekutuan.

Katanya, sebagai permulaan MAIWP menyalurkan RM225,000 kepada Persatuan Empayar Projek (Empire Project) bagi pelaksanaan Program Gerobok Rezeki di 30 Tadika Islam MAIWP terpilih membabitkan 10 kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan.

"Program ini pertama kali dibuat membabitkan premis tadika dan daripada 79 keseluruhan Tadika Islam MAIWP, kita hanya fokus kepada 30 tadika terpilih sahaja yang akan menjadi pusat pengagihan di mana tadika ini lebih besar kapasitinya.

"Selain itu, 30 tadika ini juga berada di kawasan strategik kerana berdekatan dengan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Justeru, ia memudahkan lagi masyarakat mendapatkan barang keperluan mereka melalui gerobok rezeki di tadika ini," katanya kepada media selepas melancarkan Program Gerobok Rezeki di Tadika Islam Sumayyah Cheras di sini, hari ini.

Dr Daud berkata, program ini akan diperluaskan ke tadika agensi lain sekiranya mendapat sambutan dan MAIWP akan terus menyantuni golongan memerlukan termasuk pelajar asnaf di universiti dan kolej.

Antara barangan yang diagihkan secara bulanan adalah seperti barangan makanan kering, kelengkapan mandian, pelitup muka dan pembasmi kuman.

Sumbangan ini selari dengan strategi MAIWP membantu golongan yang memerlukan dan menyemai perpaduan serta dakwah Islamiyyah dalam kalangan pelajar untuk berkongsi rezeki merentasi sempadan bangsa dan agama.

Sebelum ini, MAIWP juga menyampaikan bantuan Gerobok Rezeki kepada sekolah berjumlah RM500,000 serta masjid dan surau Jumaat berjumlah RM937,000, menjadikan kesemua bantuan Gerobok Rezeki ketiga-tiga kategori ini bernilai RM1.66 juta.

Sementara itu, Pengasas Empire Project Mohd Ashraff Khan berkata, setiap tadika akan menerima stok barang keperluan bernilai RM1,500 yang dijangka dapat memanfaatkan 50 hingga 100 penerima.

"Konsep Gerobok Rezeki di sini berlainan kerana barang keperluan bukan sahaja boleh dimanfaatkan pelajar tadika dan keluarga mereka, malah 30 peratus daripada penduduk sekitar tadika terbabit.

"Gerobok Rezeki ini juga berbeza dengan Food Bank kerana konsepnya golongan memerlukan boleh datang dan lihat apa yang mereka perlukan dan ambil.

"Projek perintis ini akan dijalankan selama lima bulan dan kita akan melihat bagaimana perkembangannya dari masa ke masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 1:09 PM