Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Lebih 1,200 penduduk dari Kampung Sungai Sok dan Kampung Slor Machang kini menarik nafas lega selepas mereka mendapat bekalan air bersih melalui Projek Bekalan Air Bersih Etiqa, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim berkata, sejak lebih 30 tahun yang lalu, penduduk dari dua kampung berkenaan bergantung kepada sumber bekalan air bukit daripada anak sungai berhampiran dengan menggunakan sistem air graviti yang dibina sendiri oleh penduduk kampung secara bergotong-royong.

Katanya, masalah utama yang dihadapi oleh penduduk kampung sebelum ini adalah kekurangan air daripada tadahan air sedia ada berikutan kerosakan pada paip air tersedia yang kerap bocor, serta saiz tandak air yang kecil.

"Melalui Projek Air Bersih, tandak air lama di naik taraf dan menjadikan kuantiti air lebih banyak dan tekanan air yang lebih tinggi sebelum ia di salurkan ke Rumah Pam.

"Air yang dibekalkan ini akan ditapis dan dirawat terlebih dahulu menggunakan Sistem Penapis Air Membran Sintetik Berskala Tinggi yang disimpan di dalam dua tangki simpanan berkapasiti 10,000 gelen yang disediakan.

"Air terawat kemudiannya disalurkan terus ke paip utama untuk kegunaan harian penduduk kampung. Selain itu, turut dibina juga adalah pusat pengambilan air atau 'stand-pipe' di kawasan berhampiran bagi memudahkan penduduk mengambil air bersih untuk kegunaan harian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Program Air Bersih Etiqa Kampung Sungai Sok yang turut dihadiri Presiden Islamic Aid Malaysia, Zawahir Abdullah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain rumah penduduk, air terawat ini juga dapat digunakan untuk kegunaan masjid, pusat komuniti, sekolah agama dan juga untuk aktiviti pertanian.

"Kaedah Sistem Air Graviti yang dibangunkan melalui projek ini sebenarnya menjimatkan kos kerana tidak menggunakan tenaga elektrik untuk mengepam air ke tangki simpanan.

"Pada masa sama, penduduk juga dapat menikmati bekalan air bersih secara berterusan sepanjang tahun, penggunaan air bukit ini juga dapat menjimatkan bayaran bil air penduduk kampung kerana ianya dibekalkan secara percuma," katanya.

Katanya, projek komuniti di bawah "Program Tanggungjawab Sosial Korporat Etiqa" ini adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban kesusahan penduduk setempat bagi mendapatkan bekalan air bersih secara berterusan sepanjang tahun.

"Projek yang bermula sejak hujung bulan Januari 2023 ini dibiayai sepenuhnya oleh Etiqa dan dilaksanakan dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 3:31 PM
ZAFRI (tengah) melihat tangki penyimpanan air di selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Program Air Bersih Etiqa di Kampung Sungai Sok. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ZAFRI (tengah) melihat tangki penyimpanan air di selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Program Air Bersih Etiqa di Kampung Sungai Sok. FOTO Hazira Ahmad Zaidi