SIVAKUMAR. FOTO arkib NSTP
SIVAKUMAR. FOTO arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membatalkan kelulusan kuota pekerja asing yang sudah diberikan kepada mana-mana majikan atau syarikat jika didapati memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing.

Menterinya, V Sivakumar menegaskan, majikan atau syarikat itu juga boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap satu kesalahan kerana bertentangan dengan Seksyen 60M Akta Kerja 1955.

"Saya ingin memberi peringatan tegas kepada majikan dan syarikat-syarikat tempatan bahawa kelulusan kuota dan kebenaran penggajian pekerja asing kepada mereka adalah bagi menampung kekurangan guna tenaga dan bukan sesekali dijadikan alasan bagi menggantikan pekerja tempatan sedia ada.

"Sejak kebelakangan ini KSM telah menerima banyak aduan mengenai syarikat tempatan yang sudah mendapat kelulusan kuota pekerja asing dan kemudiannya mengambil tindakan pemberhentian terhadap pekerja tempatan.

"Aduan terbaru yang saya terima membabitkan pemberhentian 102 pekerja tempatan di Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam tindakan pengurusan syarikat pembuatan di Nilai, Negeri Sembilan, yang didakwa 'menganaktirikan' pekerja tempatan dengan menggaji buruh asing untuk menggantikan mereka.

Sivakumar berkata, Kerajaan Perpaduan amat prihatin dengan keperluan mendesak berkaitan kekurangan guna tenaga khususnya guna tenaga asing di sektor industri yang kritikal.

"Sehubungan itu, KSM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri telah melaksanakan Pelan Kelonggaran Pengajian Pekerja Asing (PKPPA) bermula 17 Januari sehingga 31 Mac ini untuk menyegerakan kelulusan permohonan kuota pekerja asing di lima sektor kritikal iaitu perladangan, perkilangan, pembinaan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).

"Saya juga ingin menasihatkan majikan bahawa setiap kekosongan pekerjaan yang ada di dalam negara ini perlu diberi keutamaan kepada rakyat dan pekerja tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 2:02 PM