SIVAKUMAR (tiga kiri) pada sidang media Penggajian Pekerja Asing. FOTO Samadi Ahmad
SIVAKUMAR (tiga kiri) pada sidang media Penggajian Pekerja Asing. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Putrajaya: Permohonan semula pengambilan pekerja asing bagi tiga sub-sektor perkhidmatan iaitu tukang gunting rambut, tekstil dan kedai emas akan dibuka bermula 10 Oktober ini.

Menteri Sumber Manusia (KSM), V Sivakumar berkata, jumlah kuota yang diperlukan adalah 7,500 termasuk 5,000 pekerja sedia ada di negara ini dan syarat permohonan perlu dibuat oleh pihak majikan.

Menurutnya, bagi pekerja asing baharu permohonan perlu dikemukan kepada KSM dan bagi permohonan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) boleh dibuat pada tarikh yang sama.

Katanya, permohonan tiga sub-sektor perkhidmatan ini dibuka sehingga kuota berkenaan dipenuhi dan tiada lanjutan permohonan diadakan selepas dipenuhi.

"Antara syarat-syarat kelulusan penggajian pekerja asing untuk tiga sub sektor ini seperti kewujudan dan pengoperasian premis perniagaan sedia ada dan perlu mendapatkan kelulusan awal daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung(JTKS) di bawah Seksyen 60 K Akta Kerja 1955," katanya kepada pemberita pada sidang media di kementeriannya hari ini.

Permohonan tiga sub sektor perkhidmatan ini dibuka semula selepas dibekukan sejak 2009.

Sivakumar berkata,bagi tiga sub-sektor perkhidmatan ini permohonan boleh dibuat oleh majikan yang berdaftar dengan persatuanperdagangan India.

Sivakumar menambah, bagi pekerja asing baharu dan sedia ada tempoh penggajian adalah 10 tahun dan pelanjutan maksimum tiga tahun.

Katanya,majikan perlu membayar gaji minima RM1,500 sebulan kepada pekerja warga asing termasuk menyediakan tempat tinggal khusus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 6:13 PM