ANGGOTA bomba membantu menyelamatkan penduduk yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO Ihsan Bomba Selangor
ANGGOTA bomba membantu menyelamatkan penduduk yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO Ihsan Bomba Selangor
Ruwaida Md Zain
[email protected]Klang: Banjir kilat di daerah ini sejak beberapa jam lalu mengakibatkan beberapa kawasan penempatan penduduk dinaiki air dan kenderaan terkandas. Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, kejadian banjir kilat akibat limpahan air sungai susulan hujan lebat di Jalan Mohd Yamin, di sini, menyebabkan 15 rumah dinaiki air. "Bomba menerima panggilan 5.28 petang dan dilaporkan kedalaman banjir dianggarkan 1.8 meter, membabitkan 15 rumah di Jalan Mohd Yamin. "Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan BBP Banting menyelamatkan 31 penduduk yang terjejas sehingga 7.32 malam. "Mangsa membabitkan 10 lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak perempuan dan dua warga emas perempuan. "Perkembangan terkini akan dimaklumkan dari masa ke semasa," katanya ketika dihubungi hari ini. Norazam berkata, pihaknya juga menerima panggilan pada 5.14 petang membabitkan kejadian banjir kilat di kawasan berhampiran pusat beli-belah di Persiaran Bukit Raja 2, Bandar Baru Klang. "Anggota BBP Sungai Pinang ke lokasi kejadian dan mendapati banjir kilat ini membabitkan jalan di Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang menghala ke Kuala Lumpur. "Kedalaman air dianggarkan 1.2 meter dan terdapat lima kenderaan terkandas dalam banjir kilat itu," katanya.Sementara itu, pasukan BBP Kota Raja pula bergegas ke Taman Melawis, di sini, sejurus menerima panggilan 5.16 petang. "Kedalaman banjir pada 0.3 meter membabitkan 20 rumah dan tiada pemindahan mangsa. "Hasil pemantauan pihak bomba di lokasi mendapati keadaan air semakin surut dan keadaan terkawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 8:47 PM