Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, serta membincangkan kerjasama yang lebih erat terutama terkait isu melancarkan pelaksanaan haji dan umrah bagi rakyat Malaysia.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam di Perdana Putra di sini itu ketika Tawfiq berada di negara ini sempena lawatan kerja tiga hari beliau bermula Ahad, turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Anwar dalam catatan di laman sosial miliknya sempena pertemuan itu berkata turut dibincangkan ialah inisiatif-inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang lain termasuk pelancongan, pendidikan, pelaburan dan perdagangan.

"Hubungan rapat Malaysia dan Arab Saudi yang telah terjalin selama ini diharap akan menjadi lebih erat demi kemaslahatan rakyat Malaysia khasnya dan umat Islam amnya," kata Anwar.

Semalam, Mohd Na'im dalam pertemuannya bersama Tawfiq telah menyampaikan hasrat Malaysia kepada Arab Saudi untuk mendapatkan tambahan kuota haji kepada 31,950 pada tahun hadapan, selaras dengan pertambahan jumlah penduduk negara.

Kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi musim haji tahun ini ialah 31,600.

Tawfiq dalam lawatan kerja ke Malaysia turut menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam, atas sumbangan besar beliau dalam penyelarasan haji dan umrah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 7:11 PM