Syuhada Choo Abdullah


Makkah: Malaysia merancang untuk menjadi tuan rumah Simposium Haji dan Umrah anjuran Kerajaan Arab Saudi, bagi memudahkan penyertaan serta perkongsian idea terbaik daripada pemain industri itu dalam kalangan negara serantau, khususnya ASEAN pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabeeah, dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pihaknya bersama Lembaga Tabung Haji (TH) bersedia untuk memainkan peranan itu, justeru perbincangan akan dibuat secepat mungkin dengan Dr Tawfiq bagi merealisasikan cadangan berkenaan selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun lagi.

"Apabila simposium itu diadakan di Malaysia sebagai tuan rumah, ia dapat memudahkan lagi pemain industri haji dan umrah serantau untuk menghadirinya kerana lebih dekat berbanding kos jika ke Arab Saudi yang agak jauh.

"Kita boleh membawa rakan-rakan Islam dari negara serantau untuk bersama mencungkil bakat baharu yang mahir serta berpengetahuan dalam bidang berkaitan haji dan umrah, selain berkongsi idea terbaik seperti cara bagi mengurangkan kos haji.

"Usaha penambahbaikan ini akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat (beragama Islam) di negara masing-masing, insya-Allah," katanya kepada pemberita pada Simposium Haji Perdana di Jeddah, semalam.

Yang turut hadir ialah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman; serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Simposium itu dianjurkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada setiap musim haji sejak 1397H bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan perkhidmatan kepada jemaah dari seluruh dunia.

Penganjuran kali ke-47, semalam, turut dihadiri Ketua Presiden bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais.

Mohd Na'im berkata, simposium kali ini memfokus kepada tema berkaitan 'kemudahan' yang antara lain memberi penekanan kepada penyelarasan dalam kalangan semua agensi terbabit bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada jemaah haji.

Sambil memaklumkan kehadirannya adalah atas jemputan Dr Tawfiq, beliau memaklumkan melalui simposium itu, Malaysia antara lain dapat memperoleh maklumat tepat mengenai usaha serta perkhidmatan terkini diperkenalkan Arab Saudi untuk urusan haji dan umrah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 2:05 PM