Mohd Na’im Mokhtar (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu mengenai perniagaan yang diusahakan oleh pasangan asnaf Mohd Syfulzal Sidek (kanan sekali) dan isteri Abdullah (dua dari kanan) semasa Program Sinar Lestari YaPEIM di Kampung Surau, Utan Aji, Kangar. FOTO AIZAT SHARIF
Mohd Na’im Mokhtar (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu mengenai perniagaan yang diusahakan oleh pasangan asnaf Mohd Syfulzal Sidek (kanan sekali) dan isteri Abdullah (dua dari kanan) semasa Program Sinar Lestari YaPEIM di Kampung Surau, Utan Aji, Kangar. FOTO AIZAT SHARIF
Oleh Aizat Sharif

Kangar: Rakyat Malaysia menunaikan umrah di Makkah dinasihatkan tidak menyalahgunakan visa umrah mereka dengan tinggal lebih masa di Arab Saudi sehingga musim haji bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa.

Ia selaras dengan pengumuman Kementerian Haji dan Umrah negara berkenaan yang menetapkan 15 Mei hadapan sebagai hari terakhir bagi tamat tempoh visa umrah untuk jemaah yang datang dari luar Arab Saudi sebagai langkah melancarkan perjalanan jemaah haji dari seluruh dunia ke kota suci Makkah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, berdasarkan maklum balas diterima oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, jemaah Malaysia adalah jemaah yang sentiasa berdisiplin dan mematuhi undang-undang negara itu terutama dalam perkara membabitkan ibadah umrah dan haji.

"Saya rasa ramai sedia maklum malah perkara ini pernah dizahirkan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi sendiri iaitu Dr Tawfiq Fawzan al-Rabiah yang sangat memuji disiplin rakyat Malaysia yang sentiasa patuh dengan peraturan dan undang-undang ditetapkan negara itu terutama dalam pelaksanaan umrah dan haji.

"Dalam konteks ini juga, saya ingin menasihatkan sekali lagi bahawa sekiranya pihak Kementerian Haji dan Umrah negara itu sudah pun menetapkan 15 Mei hadapan sebagai hari terakhir bagi tamat tempoh visa umrah untuk jemaah yang datang dari luar Arab Saudi, maka patuhilah tarikh yang ditetapkan itu.

"Janganlah sampai ditangkap oleh pihak berkuasa Arab Saudi kerana melanggar tempoh berada di makkah dan Madinah terutama dalam peralihan musim dari umarah ke haji kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan perniagaan kepada tujuh asnaf terpilih di Perlis menerusi Program Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Surau, Utan Aji, di sini hari ini.

Katanya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Arab Saudi kerana menyalahgunakan visa umrah serta tinggal lebih masa dengan tujuan mahu melaksanakan ibadah haji pula.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Dr Mohd Na'im dan YaPEIM turut menyerahkan bengkel perusahaan kepada asnaf, Mohd Syfulzal Sidek 48, yang dipilih dan disahkan oleh Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk dibantu menerusi program.

Dr Mohd Na'im menjelaskan bahawa YaPEIM sudah menyumbangkan peruntukan RM10 juta dengan RM188,519 adalah bantuan asnaf di Perlis yang juga bantuan pembangunan asnaf dalam perniagaan dalam menjadikan mereka menjadi lebih berdaya saing serta berdikari dalam menjana pendapatan seharian.

Peruntukan turut membabitkan pembinaan dan pembaikan semula 240 unit rumah milik asnaf di seluruh negara dan dalam masa yang sama juga,

Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus dan Ketua Divisyen Sumber Dana YaPEIM, Parihah Hasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 2:53 PM