GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 kuota haji jemaah Malaysia bagi 1444H/2023M.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, kelulusan itu diberikan Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia ketika beliau menghadiri mesyuarat bersempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan Kerajaan Arab Saudi, semalam.

Menurutnya, mesyuarat khas itu berlangsung dengan penuh mahabbah khususnya bagi membincangkan aspek persiapan musim haji tahun ini.

Katanya, pada mesyuarat itu, Dr Tawfiq Fawzan juga memuji Malaysia khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang baik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang perlu dijadikan contoh pihak lain.

"Saya menegaskan TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan diadakan Kerajaan Arab Saudi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Na'im berkata, bagi pihak Kerajaan Malaysia, beliau menzahirkan rasa bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota diberikan itu.

Katanya, beliau yakin penilaian dibuat oleh Kerajaan Arab Saudi membabitkan semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin ketika menunaikan rukun Islam yang kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 12:21 PM