TAN Sri Noh Omar (kiri) mendengar taklimat pada lawatan ke Kelong Paradise, Bagan Nakhoda Omar (BNO), hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
TAN Sri Noh Omar (kiri) mendengar taklimat pada lawatan ke Kelong Paradise, Bagan Nakhoda Omar (BNO), hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor mencadangkan supaya 'staging point' (transit sementara) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diwujudkan di Kelong Paradise, Bagan Nakhoda Omar (BNO), di sini.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, berkata inisiatif itu bagi tujuan operasi menyelamat dan mengawal pencerobohan haram di perairan daerah ini.

Menurutnya, ketika ini hanya terdapat dua pangkalan operasi iaitu di pangkalan Pelabuhan Klang dan pangkalan Lumut, Perak.

"Sebagai contoh, jarak transit maritim sedia ada di Pelabuhan Klang agak jauh iaitu kira-kira 61 batu nautika atau hampir dua jam perjalanan.

"Ini sudah tentu menyukarkan pasukan penguat kuasa mengambil tindakan ke atas sebarang aduan daripada nelayan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke kelong itu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar dan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi.

Pada masa sama, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata, cadangan itu juga diputuskan selepas mengambil kira pelbagai aduan nelayan pesisir pantai yang sering mengadu pencerobohan bot pukat tunda di kawasan zon larangan.

Menurutnya, dengan kewujudan transit sementara itu ia dapat menangani pencerobohan nelayan asing dan kegiatan haram lain yang berlaku di perairan negara.

"Sebelum ini, perkara berkenaan dibangkitkan dalam Mesyuarat MKN Selangor berhubung langkah-langkah yang perlu diambil bagi mempercepatkan tindakan daripada Maritim Malaysia sekiranya terdapat aduan.

"Oleh itu, kita mencadangkan Kelong Paradise yang diuruskan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dijadikan sebagai transit sementara di samping terus membuka kelong ini kepada pelancong untuk bercuti dan memancing," katanya.

Bagaimanapun katanya, beberapa penambahbaikan harus dibuat sebelum transit sementara itu dapat beroperasi sepenuhnya seperti membuat pengubahsuaian tempat pendaratan dengan menyediakan kemudahan pontun (jeti terapung) bagi memudahkan bot ditambat di kawasan kelong.

"Kebanyakan bot Martim diperbuat daripada fiber dan jika bergesel dengan tangga tempat penambat bot sedia ada, ia mungkin boleh menyebabkan kerosakan pada permukaan bot terbabit

"Dengan adanya pontun ini ia bukan sahaja dapat digunakan oleh Maritim tetapi juga kepada pelancong untuk naik ke kelong terbabit," katanya.

Sementara itu, Siva Kumar berkata, sepasukan enam anggota dan dua bot kebiasaannya akan ditempatkan di sesebuah pusat transit.

"Penyediaan pontun diperlukan bagi memudahkan kapal atau bot untuk merapat dan keluar dari kawasan perairan itu.

"Transit itu bagaimanapun bergantung sepenuhnya kepada kelulusan dan kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 9:39 PM