LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Banting: "Ibu dan ayah masih belum terima hakikat yang anak bongsu kesayangan mereka sudah tiada," kata Fikri Abdullah, abang kepada Lans Koperal Edrin Baintim yang mayatnya ditemukan di kawasan paya bakau di Batu 8, Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, dekat sini, hari ini.

Fikri, 41, berkata, meskipun sedih dengan kehilangan adik bongsunya itu, dia reda dan bersyukur mayat Edrin akhirnya ditemukan.

Ditanya mengenai reaksi ibu bapa mereka, Fikri berkata, susah untuk menggambarkan keadaan mereka yang kini menetap di Kampung Maliau, Tongod, Sabah.

"Sebelum ini, adik pernah beritahu kami yang dia mahu pulang ke kampung tapi disebabkan terlampau sibuk dengan tugasnya, dia menangguh hasratnya itu," katanya kepada Bernama.

Pada 7 Februari lalu, Edrin yang juga anggota tentera darat daripada Grup Gerak Khas (GGK) atau lebih dikenali sebagai komando dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

Mangsa hilang ketika eksesais 'Pari Harimau' iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) Sungai Udang, Melaka.

Fikri yang juga pekerja swasta itu juga berkata, mereka sekeluarga sempat berkumpul semasa cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

"Masa itu adik cuti dua hari, kami berkumpul di rumah kakak di Klang, adik tidak ada menunjukkan sebarang perubahan, dia tetap ceria seperti biasa," kata Fikri yang menetap di Semenanjung bersama lima lagi adik-beradiknya.

Katanya, Edrin seorang yang tegas tetapi suka bergurau dengan adik-beradik selain amat mengutamakan ibu bapa dan keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Salleh berkata, pengecaman mayat Lans Koperal Edrin Baintim, 25, dibuat oleh abang kandungnya.

Beliau berkata, mayat mangsa yang masih bujang itu ditemukan oleh orang ramai pada jam 10.30 pagi lengkap berpakaian sut penyelam.

"Mayat akan dibedah siasat esok di Hospital Banting bagi mengetahui punca kematian," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 11:40 PM