Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menyasarkan pembinaan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sepanjang 10,000 kilometer (km) menjelang 2030.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pembinaan DSK di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah strategi tindakan pencegahan pencemaran melalui pendekatan kawalan punca penyelesaian berasaskan alam semula jadi (nature-based).

"Kita sasar DSK sepanjang 1,000 km pada tahun ini manakala 10,000 km menjelang 2030.

Dengan adanya denai di tepi sungai, ia akan menggalakkan aktiviti seperti berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat.

"Kehadiran orang ramai di kawasan terbabit juga dapat menghalang mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa.

"Selain itu, DSK juga berpotensi untuk menyumbang kepada eko-pelancongan setempat seperti mana wujudnya pasar terapung contohnya di Pengkalan Datu, di sini yang menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan kerja ke kawasan denai di Sungai Pengkalan Datu, Kubang Kerian, di sini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Kanan ( Khidmat Pengurusan) NRECC, Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakridan Pengarah JPS Kelantan, Ir Kamal Mustapha.

Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata, bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai, kementeriannya dengan kerjasama semua kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan rizab sungai untuk dibangunkan sebagai kawasan rekreasi melalui pembinaan denai dan aktiviti pengindahan sungai.

"Pojek rintis DSK dimulakan dengan denai sepanjang hampir satu 1km bermula di kawasan belakang Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) dan melalui kawasan hutan bakau di sekitar Min House Camp, Kubang Kerian," katanya.

NIK Nazmi hadir membuat lawatan kerja ke kawasan denai di Sungai Pengkalan Datu, Kubang Kerian, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
NIK Nazmi hadir membuat lawatan kerja ke kawasan denai di Sungai Pengkalan Datu, Kubang Kerian, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 8:18 PM