Tuan Ibrahim (kanan) mendengar penerangan mengenai Sungai Langat. FOTO BERNAMA
Tuan Ibrahim (kanan) mendengar penerangan mengenai Sungai Langat. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bangi: Kerajaan merancang untuk membangunkan lebih banyak loji efluen industri berpusat di kawasan perindustrian di samping menggiatkan program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dalam usaha melestarikan sungai.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), setiap lokasi yang diwartakan sebagai kawasan perindustrian akan dibangunkan dengan sistem pembuangan berpusat, yang akan mengawal sisa pembuangan kilang-kilang.

"Sistem itu akan mengawal punca (sisa) sebelum turun ke sungai. Dengan cara ini, ia boleh elak sungai daripada tercemar oleh pembuangan sisa kilang-kilang," katanya pada sidang media selepas melancarkan Denai Sungai Langat, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, pembangunan denai di sepanjang sungai pula berpotensi mengelak pencerobohan dan pencemaran terutama pembuangan sisa oleh lori-lori.

Menurutnya, projek Denai Sungai Langat adalah titik permulaan program DSK, yang akan menyaksikan kawasan rizab sungai dibangunkan sebagai kawasan rekreasi bagi merangsang aktiviti ekonomi berasaskan alam sekitar seperti eko pelancongan sungai.

Katanya, Denai Sungai Langat sejauh empat kilometer ketika ini berpotensi untuk ditambah jaraknya menjadi 50 kilometer, sehingga memasuki kawasan Putrajaya.

"Kementerian Alam Sekitar dan Air menyasarkan pembinaan DSK sepanjang 10,000 kilometer menjelang 2030," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 1:58 PM