Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa mengalami kelewatan sebanyak 25.79 peratus atau 143 hari berbanding jadual asal.

Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kelewatan projek berkenaan adalah disebabkan keperluan utiliti, kos bahan binaan dan juga kekurangan tenaga kerja mahir.

Katanya, beliau juga sudah dimaklumkan bahawa pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang melaksanakan pelan pemulihan untuk projek berkenaan.

"Setakat ini pelaksanaan projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP baru sahaja mencapai kemajuan 30.58 peratus dan sepatutnya tarikh ia dijangka siap adalah pada 3 September 2024.

"Walau bagaimanapun, pihak kami akan memastikan ia dapat disiapkan sebagaimana jadual asal," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas lawatan ke tebing Sungai Kelantan bagi Projek Jambatan di Kampung Joh ke Kampung Belimbing, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau meninjau pelaksanaan lima projek pembangunan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP Pengkalan Chepa, projek pembinaan Taman Industri IBS di Labok, Machang, dan tiga projek di bawah Jalan Luar Bandar (JALB).

Media sebelum ini melaporkan, projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP adalah bagi menambahbaik fasiliti serta meningkatkan kapasiti terminal lapangan terbang daripada 1.5 juta penumpang kepada empat mppa (million passengers perannum) dengan kos melebihi RM440 juta.

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, kerajaan komited dalam mengurangkan jurang infrastruktur perhubungan jalan luar bandar dan wilayah dalam usaha menoktahkan kemiskinan di Kelantan.

Beliau berkata, menerusi Rolling Plan Ketiga (RP3) RMK-12 sebanyak 42 projek dibawah Program JALB termasuk juga projek menaik taraf jambatan sempit sudah diluluskan butiran pelaksanaan di Kelantan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membabitkan kos pembinaan sebanyak RM1.44 bilion.

"Bagi tahun 2023, sejumlah RM122.95 juta diperuntukkan membabitkan pelaksanaan tiga projek JALB iaitu melengkapkan satu jaringan jalan alternatif luar bandar membabitkan jajahan Kota Bharu, Machang, dan Tanah Merah bermula daripada Kampung Mulong, Kota Bharu sehingga Kampung Kuala Sat di Machang serta Kampung Belimbing di Tanah Merah dengan Kampung Joh, Machang sebagai hub jaringan jalan.

"Di samping itu, projek ini juga dapat memendekkan tempoh dan jarak perjalanan antara jajahan sehingga 20 minit dengan jarak masing-masing 15 kilometer (km).

"Pada masa sama, pelaksanaan projek JALB turut memberi impak pembangunan melalui peningkatan aliran trafik di jajahan Machang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 5:20 PM
Nik Nazmi (berbaju biru) sedang meninjau tebing Sungai Kelantan bagi Projek Jambatan di Kampung Joh ke Kampung Belimbing, di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Nik Nazmi (berbaju biru) sedang meninjau tebing Sungai Kelantan bagi Projek Jambatan di Kampung Joh ke Kampung Belimbing, di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI