GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Polis menahan seorang wanita yang menunggang motosikal curi di Kampung Baru Ampang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan Task Force Balai Polis Ampang diketuai Ketua Polis Balai Ampang Inspektor Mohammad Fareez Izzuan Mohd Fazel menahan wanita terbabit dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah.

Menurutnya, pemeriksaan nombor casis mendapati ia dilaporkan masih hilang di Pandan Indah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati wanita terbabit memiliki satu rekod jenayah lampau tidak dikehendaki.

"Polis membuat tangkapan dan rampasan untuk dibawa balik ke Balai Polis Ampang bagi siasatan lanjut," katanya hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 5:53 PM