Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Hukuman lebih berat termasuk tuntutan pampasan diperuntukkan dalam pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) kepada mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran air.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pindaan yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, Jun ini akan memanjangkan tempoh hukuman dan kadar denda ke atas tindakan yang berisiko menyebabkan pencemaran kepada mana-mana alur air atau sistem bekalan air.

"Dalam hal ini, pindaan membabitkan peningkatan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta manakala hukuman penjara dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Ia juga membabitkan penyenaraian kesalahan baharu seperti apa-apa perbuatan atau mungkin menyebabkan penutupan sistem bekalan air atau gangguan bekalan air kepada pengguna serta melepaskan apa-apa kumbahan, efluen, benda atau bahan ke dalam mana-mana lurang dan pili.

"Selain itu, pindaan ini juga membolehkan pemegang lesen perkhidmatan air menuntut semula kos bagi memulihkan sistem bekalan air yang dicemari daripada pihak yang didapati bersalah menyebabkan pencemaran air," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

NIK Nazmi pada sidang media di Parlimen. FOTO Aswadi Alias
NIK Nazmi pada sidang media di Parlimen. FOTO Aswadi Alias

Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan Che Alias Hamid (Kemaman-PN) mengenai komitmen kementerian meminda Akta 655 dengan mengenakan hukuman dan denda lebih tinggi terhadap mereka yang menyebabkan pencemaran air berlaku.

Selain itu beliau berkata, kementerian juga akan meneruskan pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) bagi menangani insiden pencemaran secara berkesan.

"Pindaan Fasa 1 membabitkan elemen kompaun dan penalti bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil ke atas pelaku dan pesalah yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.

"Pindaan Fasa 1 ini sedang dimurnikan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku tahun keempat 2023.

"Pindaan Fasa 2 yang akan memperkasakan Akta 127 secara menyeluruh masih sedang diperhalusi dan diteliti bersama pakar undang-undang dan alam sekitar," katanya.

Katanya, draf pindaan Fasa 2 turut membabitkan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dan pemegang taruh berkaitan seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak penggerak projek pembangunan dan pihak industri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 1:18 PM