DATUK Dr Mansor Othman.
DATUK Dr Mansor Othman.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada suku pertama 2022.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Mansor Othman berkata, kementerian sudah dikemukakan Pegawai Undang-Undang kementerian untuk ulasan lanjut.

Menurutnya, draf pindaan akta itu juga kemudiannya akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

"Kementerian menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) mensasarkan pindaan akan dibentangkan di Parlimen pada suku pertama 2022.

"Pindaan ini akan membabitkan pindaan denda minimum dan maksimum agar setimpal dengan kesalahan yang dilakukan," katanya dalam Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dikemukakan Nurul Izzah Anwar (PH- Permatang Pauh).

Dalam soalannya, Nurul Izzah mahu mendapatkan maklum balas kerajaan mengenai pindaan terhadap undang-undang sedia ada khususnya Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Dalam sesi sama juga, Mansor berkata, kementerian juga akan meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk membuang sisa haram di dalam sungai.

"Tindakan sewajarnya sudah diambil bagi memastikan pencemaran sungai tidak terus berlaku.

"Antara langkah diambil pertingkatkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan memfokuskan penguatkuasaan ke atas industri berisiko melalui operasi khas seperti Ops Gempur.

"Operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi juga dilaksanakan terhadap punca yang dikenal pasti dan pemantauan menerusi rondaan dan dron dan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi meningkatkan denda minimum dan maksimum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 11:53 AM