Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
BERNAMA

Ipoh: Polis Diraja Malaysia akan membantu pihak berkuasa Thailand dalam siasatan seorang rakyat negara ini yang cedera parah dipercayai terkena tembakan oleh penyerang yang tidak dikenali di Jalan Chantharothai, Bandar Betong, Wilayah Yala, Selatan Thailand pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, kejadian berlaku apabila mangsa lelaki berusia 55 tahun yang sedang menunggang motosikal ditembak sebanyak tiga das oleh suspek semasa berada di hadapan sebuah kedai serbaneka pada kira-kira 9 malam, waktu Thailand.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan paha telah dibawa ke Hospital Betong bagi mendapatkan rawatan lanjut dan keadaan mangsa kini masih stabil," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek yang menyerang dipercayai warga Thailand telah berjaya melarikan diri dan masih sedang dikesan setakat ini.

Katanya pihak berkuasa Thailand masih mengesan penyerang serta sedang menyiasat motif serangan tersebut dari pelbagai aspek sama ada berpunca daripada perbalahan peribadi ataupun perniagaan.

"Mangsa telah lama keluar dan masuk ke daerah Betong kerana mempunyai seorang isteri warga Thailand selain pernah menjalankan perniagaan pusat hiburan di Bandar Betong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 2:25 PM