GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
AFP

LELAKI maut dipijak lima gajah liar yang naik minyak berhampiran estet di Yala, hari ini, dalam kejadian terbaru membabitkan haiwan jenis itu.

Masaree Samae, 40, maut awal pagi tadi di selatan wilayah Yala yang turut menempatkan ratusan ladang getah.

Kapten Polis, Sathit Woonchoom ketika dihubungi melalui telefon berkata, mangsa sedang dalam perjalanan untuk menoreh getah dengan menaiki motosikal sebelum dikelilingi lima gajah liar.

“Bedah siasat mendapati mangsa parah di belakang badan dan kepala,” katanya.

Beliau turut terdengar bunyi gajah dari dalam semak berhampiran apabila berada di lokasi untuk melakukan siasatan.

Menurut Pusat Pemuliharaan Gajah Thailand, jumlah gajah liar Thailand menurun kepada 2,700 daripada 100,000 pada 1850.

Penebangan hutan dan kehilangan habitat secara tidak terkawal telah membawa haiwan itu semakin dekat dengan manusia, menyebabkan berlakunya kejadian tidak diingini, termasuk menyebabkan kematian.

November tahun lalu, gajah lima tan yang sering muncul dalam filem dan iklan, memijak pemiliknya sehingga mati di Chiang Mai selepas berada dalam keadaan agresif untuk mengawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 10:56 PM