Anggota polis sedang mengawal ketat di sekatan jalan raya supaya tidak ada pendatang tanpa izin (PATI) bolos masuk ke negara ini. FOTO IHSAN PDRM.
Anggota polis sedang mengawal ketat di sekatan jalan raya supaya tidak ada pendatang tanpa izin (PATI) bolos masuk ke negara ini. FOTO IHSAN PDRM.
Safuri Kamarudin


JUMLAH keanggotaan polis akan ditambah di sempadan Pengkalan Hulu, Perak dan Betong, Thailand bagi menangani pembolosan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) bagi mengawal pintu masuk dan kawasan sempadan negara.

Katanya, kawasan sempadan kedua-dua negara akan dikawal ketat, malah rondaan berterusan dilakukan di beberapa lokasi.

"Anggota polis akan membuat kawalan ketat dan meronda di kawasan sempadan supaya tidak ada PATI yang bolos.

"Kita akan pastikan semua kawasan dikawal ketat kerana bimbang mereka yang pulang (ke negara asal) sewaktu terkandas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu akan masuk semula ke negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, setakat ini keadaan terkawal berikutan pemeriksaan ketat di sepanjang kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, pihaknya juga menambah keanggotaan di sekatan jalan raya (SJR) bagi membuat pemeriksaan lebih teliti ke atas kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 5:23 PM