Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Keluarga kepada salah seorang mangsa kemalangan yang maut di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands, Pahang pada Rabu lalu berterima kasih kepada semua pihak yang tampil memberikan sokongan dalam membolehkan mereka mengharungi detik sukar kehilangan orang tersayang pada ketika ini.

Mah Chuo Yaik, 30, anak kepada Foong Ah Lan, 67 terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan masyarakat sekeliling terhadap keluarganya selepas pemergian ibu tercinta dalam nahas berkenaan.

Chuo Yaik berkata, dia kini hanya mahu ibu yang disayanginya berehat dengan tenang dan akan sentiasa mengingati kebaikan wanita yang melahirkannya.

"Semasa kejadian banyak reporter (wartawan) datang ke hospital untuk membuat liputan dan apa yang saya ingin katakan, biarlah mak saya berehat dengan tenang.

"Terima kasih kepada semua pihak termasuk juga kepada Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow) dan Lim Guan Eng (Pengerusi DAP) yang sudi hadir ke kediaman kami untuk menghulurkan sumbangan serta memberikan sokongan moral," katanya ketika menerima kunjungan Kon Yeow dan Guan Eng di rumahnya di Taman Cendana, Juru, di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Kon Yeow mengumumkan bahawa kerajaan negeri menghulurkan sumbangan RM2,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terbabit dalam nahas kemalangan yang kesemuanya telah meragut lapan nyawa.

Katanya, kerajaan negeri bersimpati atas tragedi yang tidak disangka itu dan berharap keluarga mangsa terlibat dapat menguatkan diri selepas kehilangan insan tersayang.

KON Yeow ditemui media selepas pelancaran Armenian Park hari ini. FOTO Mikail Ong.
KON Yeow ditemui media selepas pelancaran Armenian Park hari ini. FOTO Mikail Ong.

"Kita turut berharap proses pengebumian kesemua mangsa dapat dijalankan dengan baik dan sempurna," katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, DAP sedia menghulurkan bantuan guaman kepada semua keluarga mangsa selepas laporan siasatan kemalangan itu diperoleh.

"Ketika ini, kita perlu tahu apa punca kemalangan ini berlaku sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

"Saya dimaklumkan pihak syarikat (yang mengendalikan percutian kesemua mangsa) sehingga kini tidak bertemu dengan pihak keluarga yang saya minta ia disegerakan," katanya.

Rabu lalu, tujuh maut manakala tujuh lagi cedera selepas van persiaran yang mereka naiki terbabas dan melanggar penghadang jalan ketika menuruni Genting Highlands di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 2:12 PM