GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap seorang lelaki atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap adik tiri perempuan pada 2018.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh mengaku bersalah atas perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia lapan tahun ketika kejadian.

Lelaki itu dipenjara berkuat kuasa bermula 15 November lalu bermula tarikh penahanannya, selain diarah mengikuti sesi kaunseling di penjara dan perlu berada dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman terbabit.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan melakukan persetubuhan itu di sebuah rumah pangsa, Jalan Sungai Baru, Kampung Baru di sini, pada 2 petang, pada 2018.

Pendakwaan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana tiada pekerjaan tetap dan perlu menyara dua adiknya berusia 20 serta 18 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin, memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

"Ketika kejadian mangsa berusia lapan tahun dan sebagai abang, dia sepatutnya menjaga serta mendidik adik yang masih kecil dengan perkara yang baik bukan bertindak sedemikian.

"Akta kanak-kanak masih terpakai kerana semasa kejadian tertuduh berusia 18 tahun dan masih lagi seorang kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 4:30 PM