TERTUDUH selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Alor Gajah.
TERTUDUH selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Alor Gajah.
Nur Saliawati Salberi


ALOR GAJAH: Seorang pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan melakukan persetubuhan serta amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya.

Lelaki berusia 42 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua tiga tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri yang ketika kejadian berusia 13 tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(A), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan terhadap mangsa tanpa kerelaan dan didakwa mengikut Seksyen 376(3), Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu dilakukan di rumah di Melekek, Alor Gajah di sini, pada Februari 2017 dan 8 November lalu.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Firdaus Othman tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira mangsa masih tinggal serumah bersama tertuduh dan dikhuatiri boleh mengganggu mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dibenarkan diikat jamin memandangkan perlu menguruskan isteri pertama bersama enam anak lain.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 5:40 AM