SHAARI Hassan (kanan) ketika di bawa ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu bulan lalu. FOTO Arkib NSTP
SHAARI Hassan (kanan) ketika di bawa ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu bulan lalu. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Kubu Bharu: Seorang warga emas yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes cabul, hari ini dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina di belakang rumah jirannya, Julai lalu.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu ke atas Shaari Hasan, 60, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas keluar dari penjara, selain mendapatkan khidmat kaunseling.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, hakim berkenaan menyoal punca kematian kambing berkenaan dan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Noor Harun menyatakan ia adalah disebabkan kegagalan paru-paru.

Dalam prosiding itu, tertuduh juga mengesahkan barang kes termasuk gambar kambing, pakaian miliknya yang dirampas semasa kejadian iaitu sehelai baju T berwarna hijau dan seluar panjang berwarna coklat, yang ditunjukkan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Rawang di sini pada 1.33 tengah hari, 27 Julai lalu, mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam Muizzudin Schanni Feizal Maurice Feizal memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dari tarikh tangkap, dengan alasan tertuduh menyesal dengan perbuatannya selain hukuman berpatutan terhadap tertuduh.

"Tertuduh warga emas dan tinggal sebatang kara, memandangkan seksyen ini memperuntukkan hukuman sebat, mohon hukuman itu (sebat) tidak dikenakan berikutan tertuduh seorang warga emas," kata peguam itu.

Sementara itu Khairunnisa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Menurut fakta kes, kejadian itu disedari seorang wanita berusia 45 tahun yang terdengar bunyi mengembek dari kandang kambing yang terletak di belakang rumahnya.

Wanita berkenaan yang pergi ke kandang kambing itu mendapati, seorang lelaki yang dikenalinya berada dalam keadaan separuh bogel, bangun dari sebelah kambing milik wanita tersebut.

Selepas menyedari kehadiran wanita terbabit, suspek melarikan diri dan hasil pemeriksaan mendapati, kambing betina yang menjadi mangsa lelaki itu telah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 1:22 PM