Ebit ketika tiba perkarangan Mahkamah Majistret Tenom, hari ini. FOTO YUN MIKIAL
Ebit ketika tiba perkarangan Mahkamah Majistret Tenom, hari ini. FOTO YUN MIKIAL
Oleh Yun Mikail


Tenom: Mahkamah Majistret Tenom hari ini, membenarkan permohonan pembelaan meminta perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew, ditangguhkan ke tarikh baharu.

Majistret Nur Asyraf Zolhani memaklumkan perbicaraan bakal berlangsung pada 11 sehingga 12 Mei ini.

Peguam bela, Ram Singh ketika sesi penghujahan menyatakan permohonan terbabit dibuat bagi membolehkan pihak pembelaan membuat semakan dokumen berkaitan 90 imej lucah di Mahkamah Tinggi serta berkaitan pemanggilan Inspektor Yip Chang Ching sebagai saksi pendakwaan ketujuh.

Mahkamah membenarkan Chang Ching memberi keterangan namun menyatakan peguam bela turut mempunyai hak untuk meminta masa munasabah bagi meneliti dokumen terbabit selain memeriksa mana-mana saksi berhubung dengan dokumen itu.

Demi kepentingan keadilan bersama, mahkamah akan membenarkan penangguhan prosiding sehingga semakan selesai didengar dan diputuskan.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria menyatakan pihaknya tiada bantahan dan bersetuju dengan cadangan mahkamah.

Terdahulu, Zahida dalam prosiding sebelum ini memaklumkan kepada mahkamah bahawa imej yang ada di dalam pemacu kilat mengandungi imej tertuduh dan pengadu yang bersifat seksual selain terdapat 90 imej lucah di dalamnya.

Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di Tenom antara Mac hingga Jun 2021.

Pendakwah terbabit didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 4:18 PM