ABANG Johari ketika merasmikan Seminar Mengenai Inisiatif Baharu untuk Meningkatkan Industri Pembinaan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). FOTO BERNAMA
ABANG Johari ketika merasmikan Seminar Mengenai Inisiatif Baharu untuk Meningkatkan Industri Pembinaan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi

Kuching: Kerajaan Sarawak menyediakan insentif baharu di bawah variasi harga (VOP) bagi meringankan beban yang ditanggung pemain industri binaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, antara insentif itu ialah bayaran pendahuluan untuk kontrak kerja dan membenarkan sehingga tiga pembayaran dibuat tanpa dokumen kontrak dalam empat bulan pertama tempoh kontrak.

Menurutnya, bagi menyediakan bantuan lanjutan kepada kontraktor, bahan binaan penting tambahan turut dimasukkan di bawah VOP yang diluluskan dalam 'Pelaksanaan Syarat-Syarat Perubahan Harga dan Inisiatif Tambahan Pasca Pandemik dalam Kontrak Kerja Kerajaan Negeri.

"Selain itu, bayaran minimum yang lebih rendah dikenakan serta langkah lain untuk mengurangkan projek yang terjejas teruk akibat kenaikan harga serta melanjutkan masa (EOT) untuk projek dengan kemajuan sekurang-kurangnya 60 peratus berdasarkan program kerja dan pemberhentian bersama tertakluk kepada kriteria lazim yang dikenakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Mengenai Inisiatif Baharu untuk Meningkatkan Industri Pembinaan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Turut hadir pada seminar anjuran Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri (SFS), JKR Sarawak dan CIDB Sarawak itu, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, beberapa langkah dilaksanakan bagi meminimumkan projek yang tertangguh secara kritikal antaranya membantu aliran tunai kontraktor projek serta mencapai situasi 'menang-menang' untuk semua pihak di bawah kontrak kerajaan.

"VOP mencerminkan sentimen pasaran semasa berkaitan turun naik harga bahan binaan bagi mengurangkan keadaan buruk yang dihadapi dalam industri binaan dengan mengurangkan hakisan margin yang dihadapi kontraktor dalam melaksanakan penyampaian projek kerajaan terutama terutama keadaan yang sukar," katanya.

Bagi memastikan kontraktor berkualiti dilantik untuk melaksanakan projek kerajaan, beliau berkata kriteria penilaian diperkukuh dengan menapis kontraktor tidak cekap dan tidak bertanggungjawab.

"Kerajaan Sarawak serius dalam mencapai matlamat pembangunan dan akan melakukan yang terbaik untuk membantu pemain industri yang 'bona fide' memastikan kecemerlangan penyampaian projek.

"Justeru, saya mengarahkan SFS, MIPD dan JKR Sarawak untuk membabitkan semua pihak berkepentingan termasuk pemain industri untuk merangka pelan dan mewujudkan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan isu dan cabaran yang mungkin dihadapi oleh pemain industri di lapangan," katanya.

Abang Johari turut menegaskan, semua kontraktor harus serius dan lebih komited dalam melaksanakan projek di bawah bidang kuasa kerajaan Sarawak dengan integriti dan profesionalisme mesti dipertahankan semasa pelaksanaan projek.

"Paling penting kontraktor harus mengambil perhatian berhubung kapasiti dan keupayaan mereka sendiri apabila menjalankan projek kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 4:19 PM