Antara bahan binaan yang dibekalkan SESB kepada kontraktor perumahan di bawah kendalian SPNB.
Antara bahan binaan yang dibekalkan SESB kepada kontraktor perumahan di bawah kendalian SPNB.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memasarkan bahan binaan secara terus kepada kontraktor yang terbabit dengan projek pembangunan perumahannya di seluruh negara bagi memastikan harga jualan rumah yang dibina kekal rendah dan mampu dimiliki golongan sasaran.

Bahan binaan itu dibekalkan sendiri anak syarikatnya, SPNB Edar Sdn Bhd (SESB), sekali gus memberi jaminan projek perumahan seperti Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) dapat dibangunkan secara lebih berkualiti.

Pengerusi SESB, Datuk Dr Mohd Padzil Hashim berkata, langkah proaktif itu dilakukan bagi memastikan masalah kualiti serta projek terbengkalai disebabkan masalah modal dialami kontraktor dapat ditangani dan dikekang.

Menurutnya, pihaknya bertanggungjawab membekalkan bahan binaan terus kepada kontraktor, malah bahan binaan digunakan mematuhi piawaian ditetapkan, sekali gus mengawal kualiti projek.

“Selain itu, bekalan bahan binaan juga diperoleh daripada sumber boleh dipercayai dan berkualiti. Kami mempunyai tanggungjawab sosial yang besar membabitkan projek pembinaan RMR1M,” katanya.

Katanya, pendekatan itu membantu mengekalkan harga rumah dijual kepada pembeli yang sentiasa terdedah kepada turun naik pasaran hartanah dan harga bahan pembinaan.

Beliau berkata, pihaknya memainkan peranan penting membangunkan rantaian bekalan bahan binaan bersepadu dan bertindak sebagai pembekal bahan binaan khususnya program pembangunan SPNB.

Menurutnya, SESB turut menjalankan program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) bagi rantaian pembekalan bahan binaan.

“Menerusi program itu, pengilang, pengeluar dan pembekal bahan binaan Bumiputera mendapat peluang yang lebih luas, berdaya maju dan mampan dalam pasaran agak lemah buat masa ini.

“Kami turut melaksanakan polisi yang mampu menyediakan pasaran kepada pengilang dan pengeluar kerana semua kontraktor bernaung di bawah SPNB diwajibkan mendapatkan bekalan bahan binaan daripada vendor dilantik SESB,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali berkata, langkah memasarkan bahan binaan secara terus membolehkan SPNB memantau dan memastikan kualiti pembinaan oleh kontraktor.

“Ia membolehkan SPNB memantau dan memastikan kualiti pembinaan oleh kontraktor pelbagai kelas bermula dari G1 hingga G7 dilantik mendapat bekalan bahan binaan berkualiti dengan harga kompetitif.

“Malah, SPNB mempunyai lebih 130 rangkaian kedai perkakasan (hardwares) dilantik sebagai ejen bagi kumpulan kontraktor yang dilantik ini mendapatkan bekalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 8:32 AM