GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang pengarah syarikat pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menawar dan memberikan sogokan kepada pegawai polis supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana memiliki minyak subsidi tanpa lesen.

Tertuduh, Keh Teck Chuan, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Mengikut pertuduhan pertama, Keh didakwa menawar satu suapan sejumlah wang RM50,000 kepada seorang lelaki yang juga pegawai polis berusia 39 tahun yang bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa secara rasuah memberikan satu suapan sejumlah wang RM50,550 kepada pegawai polis sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan tertuduh sebagai dorongan tiada tindakan diambil ke atasnya atas kesalahan memiliki minyak subsidi tanpa lesen.

Keh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah gudang di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang pada jam 11 malam dan 11.10 malam, 1 Februari lalu.

Dia dakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan keseluruhan RM40,000 serta tertuduh perlu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Selangor.

Tertuduh juga diminta untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya dia membuat permohonan pasport yang baharu dan sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 1:43 PM